1. KEUTAMAAN ILMU.
Jika aku melihat ahli hadith, terbayang olehku sahabat-sahabat Rasulullah saw. Semoga Allah memberikan ganjaran yang setimpal dengan kebaikan mereka sebab mereka telah menyelamatkan sesuatu yang asli. Selain itu, mereka memiliki kelebihan atas kita. Semua ilmu kecuali al-Quran, hadith dan fiqh, menyibukkan manusia. Ilmu yang benar adalah yang jelas rawinya. Sebab, kalau tidak, ilmu itu datangnya dari syaitan. Kurendahkan diriku untuk manusia dan kumuliakan diri mereka. Diri yang tak direndahkan tidak akan mulia dan dimuliakan.
2. INSAN PENGABDI ILMU.
Ilmu itu memiliki keutamaan iaitu membuat semua orang mengabdikan diri kepadanya. Memelihara ilmu itu WAJIB sebagaimana wajibnya seseorang manusia menjaga maruah dan darahnya. Barangsiapa mempunyai ilmu, kemudian mewariskan ilmunya kepada orang yang tidak berhak menerimanya, maka dia adalah seorang yang zalim.
3. ILMU MEMBAWA KEMULIAAN.
Aku melihat bahawa pemilik ilmu itu akan mulia, meski pun dia dilahirkan di tengah keluarga yang buta huruf. Ilmu selalu dapat mengangkat darjat pemiliknya sehingga semua orang menghormatinya. Mereka akan mematuhi kata-kata pemilik ilmu, ibarat pengembala yang menjadi raja bagi gembalaannya. Setiap orang tidak akan merasakan kebahagiaan tanpa ilmu. Tanpa ilmu, manusia tidak akan kenal halal dan haram.
4. CARA MEMPEROLEH ILMU.
Ilmu hanya diperolehi dengan ENAM cara iaitu kecerdasan, semangat keras, rajin, agresif, ada biaya yang cukup dan bersahabat dengan guru dalam waktu yang lama.
5. BELAJARLAH.
Tak ada bayi yang baru lahir terus menjadi ilmuan. Tak sama ilmuan dengan orang bodoh. Sebesar apapun sesebuah negara, ia akan bernilai kecil, jika penduduknya tidak berilmu. Sekecil manapun sesebuah negara, akan menjadi kuat dan besar bila penduduknya berilmu.
6. KESUNGGUHAN.
Jika engkau mendengar cerita tentang tongkat datuk menjadi pohon dan berbuah, janganlah percaya. Jika engkau mendengar seorang nenek tewas ketika hendak minum kemudian tenggelam ke tengah sungai, buktikanlah ! Jika kekayaan dapat dicapai melalui angan-angan, maka engkau akan temui aku bergantung di tengah taburan bintang bergemerlapan. Tapi ingat ! Orang yang diberi darjat mulia kerana ilmunya, tak mungkin diberi harta melimpah kerana ilmu dan harta tak mungkin jalan bersama. Sudah menjadi suratan bahawa orang yang dinaikkan darjatnya, pastilah diuji dengan kemelaratan. Buktinya banyak orang yang pandai, hidupnya melarat dan banyak orang bodoh, hidupnya serba cukup. Orang yang diberi rezeki dengan mudah, pahalanya sedikit, tidak terpuji dan tidak mendapat taufik. Kesungguhan itu dapat memecahkan persoalan yang berat bahkan dapat membuka setiap pintu yang terkunci.
7. MENUNTUT ILMU.
Keterjagaanku di tengah malam untuk menekuni ilmu lebih nikmat bagiku berbanding dari lagu merdu dan bau wangian. Goresan penaku di tengah lembaran kertas terasa lebih indah dibanding khayalan. Bergelut dengan masalah keilmuan lebih mengasyikkanku dibanding mendengar nyanyian seorang gadis. Aku terjaga setiap malam untuk belajar pada saat orang lelap tidur.
8. ILMU BERADA DI DALAM DADA.
Ilmuku sentiasa bersamaku. Ia amat bermanfaat kepadaku bila kuamalkan. Hatiku adalah dulang penampung ilmu, bukan perutku. Ketika aku berada di rumah, ilmuku tinggal di sana. Ketika aku pergi ke pasar, ilmuku selalu mengikuti kemana aku pergi.
9. SINAR ILMU MEMANCAR KETIKA MAKSIAT DITINGGAL.
Aku pernah bercerita kepada guruku Waki', tentang kepayahan menghafal dan mengingati pelajaran. Dia tunjuki aku agar menghindari dan menjauhkan diri dari melakukan perkara mungkar dan maksiat. Dia juga mengatakan kepadaku bahawa ilmu itu CAHAYA dan CAHAYA Allah tidak diberikan kepada orang-orang yang banyak melakukan maksiat dan kemungkaran.
10. LADANG KEBANGGAAN MANUSIA.
Ilmu itu ladang kebanggaan. Berbanggalah kamu dengan ilmu. Janganlah terlewat memilikinya. Ketahuilah, ilmu tidak akan dapat diraih oleh orang-orang yang perhatiannya hanya pada makanan dan pakaian. Ilmu akan lebih senang bersahabat dengan orang-orang yang hidup sederhana. Ambillah ilmu sebanyak-banyaknya, meskipun harus banyak berkorban dan menderita kerana suatu hari nanti, bila engkau menghadiri sesuatu majlis dan engkau yang memimpinnya, maka engkau akan menjadi kebanggaan majlis itu.
11. HIASAN MANUSIA ADALAH ILMU DAN TAQWA.
Terimalah marah dan cacian gurumu dengan hati yang lapangdan penuh kesabaran. kerana ilmu gurumu hanya akan dapat engkau terima dan perolehi dengan menyerahkan dirimu sepenuhnya kepada gurumu. Barangsiapa yang tidak pernah merasakan pahit getir menuntut ilmu meskipun sedikit, tentulah dia terjerumus kedalam kebodohan seumur hidupnya. Barangsiapa tidak memanfaatkan masa mudanya untuk menuntut ilmu, maka bertakbirlah empat kali untuknya sebagai tanda kematian. Pemuda yang sejati di depan Allah adalah pemuda yang berbekalkan ilmu dan taqwa.
No comments:
Post a Comment