Autisme adalah gangguan perkembangan otak yang dicirikan masalah hubungan sosial, komunikasi, emosi, kurang kebolehan imaginasi dan bermain serta menunjukkan tingkah laku terhad dan berulang; biasanya berkaitan minat, aktiviti dan perangai. Kekurangan dialami kanak-kanak ini menyebabkan mereka tidak faham perasaan orang lain, tiada usaha menggembirakan orang lain dan tidak pandai berinteraksi secara spontan.
Pun begitu, bukan semua individu autisme mengalami masalah pembelajaran kerana ada yang berjaya dan menjadi orang ternama seperti Albert Einstein, Bela Bartok dan Bill Gates. Mereka berkongsi masalah sama, iaitu mengalami Sindrom Asperger iaitu sejenis autisme.
a). Perkembangan Sosial Kanak-Kanak Autisme Sangat Perlahan, Menyebabkan Mereka Jauh Ketinggalan Berbanding Rakan Sebaya Dan Menunjukkan Perlakuan Sangat Berbeza Daripada Normal Seperti:
- Tidak menghiraukan orang lain.
- Kelihatan tidak sensitif pada keperluan, perasaan dan pemikiran orang lain.
- Tidak mahu bertentang mata atau menunjukkan ekspresi muka apabila bercakap.
- Tidak suka sentuhan (tidak mahu dipeluk atau dipegang).
- Susah bekerjasama, berkongsi atau menunggu giliran.
- Lebih suka bermain sendiri.
b). Kurang Mahir Bertutur Dan Berkomunikasi
- Lambat bercakap.
- Mempunyai masalah bercakap dan memahami percakapan orang.
- Tidak boleh berkomunikasi dengan baik.
- Bercakap dalam nada pelik : seperti menyanyi atau bercakap macam robot.
- Sukar memulakan percakapan. Kalau berbual hanya satu pihak (hanya mereka yang bercakap).
- Mungkin mengulang perkataan sama, tetapi tidak faham maksudnya.
c). Mempunyai Masalah Dalam Pemikiran Dan Perlakuan
- Suka melakukan perkara sama (berulang) dan tidak mahu menerima perubahan. Mereka mudah terganggu jika disuruh melakukan perubahan.
- Menunjukkan minat pelik, contohnya terhadap peta, peralatan elektronik atau roda kereta mainan berpusing dan memutar objek.
- Sangat sensitif terhadap rasa, bau dan bunyi yang menyebabkan mereka menunjukkan perlakuan di luar kawalan.
- Mempunyai pergerakan badan yang pelik dan melakukannya berulang-ulang.
- Tidak boleh duduk diam.
d). Masalah Tingkah Laku
- Suka mengasingkan diri : biasanya kekecewaan ditunjukkan melalui tindak balas negatif seperti mengamuk, marah-marah, agresif (yang tidak ditujukan kepada sesiapa) atau perlakuan yang merosakkan seperti mencederakan diri.
- Bersikap pasif : tidak faham keadaan semasa dan tidak boleh membezakan keadaan baik dan buruk. Jadi mereka biasanya terbabit dalam masalah yang dicetuskan orang lain.
- Tidak tahu bersosial : jika melakukan kesalahan, ia sangat mudah dikesan.
Walaupun autisme belum ada penawarnya, banyak kaedah rawatan dan pendidikan boleh membantu kanak-kanak ini membesar dan belajar dengan baik. Golongan ini memerlukan bantuan dalam segenap segi, terutama kemahiran sosial dan pengurusan, termasuk menguruskan diri sendiri.
Mempunyai anak autisme memang cabaran besar tetapi mereka boleh menikmati kehidupan sebaik orang normal dengan sokongan ibu bapa, guru dan ahli keluarga. Paling penting, ibu bapa jangan berputus asa dan sentiasa berdoa untuk kebaikan anak...
sumber : P.Khas SKARY
No comments:
Post a Comment