Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Lilypie Pregnancy tickers

Lilypie Pregnancy tickers

ThAnKs KaWaN-KaWaN

09 February 2009

MenCari SiNar..

Mencari sinar pengetahuan


MURID-MURID menggunakan mesin Braille untuk membaca dan menulis dengan bantuan guru di SKPK Princess Elizabeth Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 30 Jan. - "Kenapa kami buta?"

Itu antara rintihan yang lazim diluahkan oleh murid-murid yang mengalami masalah penglihatan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth di Jalan Nong Chik di sini.

Menurut Guru Besar sekolah itu, Nafisah Ismail, 51, yang lebih mesra dengan panggilan 'mama' di kalangan anak muridnya, soalan itu sering menyentuh perasaannya, namun ia perlu dijawab secara berhemah agar tidak menyinggung perasaan mereka.

"Saya akan beritahu murid itu bahawa setiap kejadian ada hikmahnya dan jika satu deria hilang, Tuhan akan tambah atau tingkatkan penguasaan deria lain.

"Saya akan pujuk mereka supaya tidak menyesali keadaan diri, sebaliknya berusaha untuk memajukan diri menerusi penguasaan ilmu dan kemahiran," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolah tersebut baru-baru ini.

Mengenai sekolah tersebut, Nafisah memberitahu, ia dibuka sejak 1953 dan kini menempatkan 71 murid berusia antara enam hingga 12 tahun yang menghadapi masalah penglihatan.

Sekolah di bawah kelolaan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) itu juga menyediakan kemudahan asrama memandangkan murid-murid di situ datang dari seluruh Semenanjung.

Nafisah tidak menafikan ramai yang menangis ketika terpaksa 'berpisah' dengan ahli keluarga masing-masing untuk menetap di asrama.

"Sesetengah ibu bapa nak lepaskan anak normal yang berusia 16 tahun ke sekolah berasrama pun susah, inikan pula anak yang cacat penglihatan dan baru berumur enam tahun," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, menerusi unsur kekeluargaan yang diterapkan, murid-murid berkenaan secara beransur-ansur dapat menyesuaikan diri dan menganggap guru serta kakitangan sebagai keluarga sendiri sekali gus mengurangkan kesedihan berenggang dengan keluarga.

Tambahnya, mereka juga akhirnya berasa gembira kerana mendapat ramai kawan baru yang senasib dan belajar banyak perkara baru.

Nafisah memberitahu, bagi yang tinggal di asrama, keluarga murid-murid boleh mengambil mereka pulang ke kampung masing-masing dalam tempoh dua kali sebulan atau pada cuti umum.

Namun, beliau sedih apabila mendapati ada ahli keluarga yang seolah-olah kurang memberi perhatian kepada anak-anak kurang upaya ini sehinggakan ada yang tidak datang untuk mengambil mereka pulang ke kampung semasa musim perayaan.

Sebaik diperkenalkan dengan tiga anak murid iaitu Lum Zheng Hao, Mohd. Shamil Zam Zam dan N. Saremiyah yang masing-masing berusia 10 tahun, penulis terharu apabila mendapat tahu Zheng Hao yang lebih dikenali sebagai Ryan menjadi buta kerana menghidap barah dan telah menjalani pembedahan dua kali.

Walaupun begitu, kanak-kanak itu amat ramah dan petah berbahasa Inggeris, malah memahami situasi yang dialaminya.

"I have tumor in my head, but now it's gone (Saya ada ketumbuhan di dalam kepala, namun sekarang tiada lagi."

"But sometimes I still have headache (Namun kadang-kadang saya masih rasa sakit kepala)," jawabnya dengan ramah apabila ditanya.

Saremiyah yang beransur-ansur hilang penglihatan pula dikenali sebagai pelajar yang paling bersopan di sekolah tersebut.

Menurut Nafisah, beliau amat berbangga dengan tingkah laku anak muridnya itu yang sering memberi ucap selamat apabila bertemu dengan guru-guru.

Sementara itu, Mohd. Shamil pula mula hilang penglihatan setelah saraf matanya rosak tahun lalu sehingga menyebabkan matanya seolah-olah kering sehingga berwarna merah.

Dia kadang-kadang berasa pedih di bahagian mata dan perlu menggunakan ubat khas untuk merawat matanya itu.

Walaupun mengalami beban yang begitu berat, namun ketiga-tiga kanak-kanak itu tetap tabah dan tekun serta gembira mempelajari cara untuk membaca dan menulis menggunakan huruf Braile.

Segala beban itu seolah-olah dilupakan seketika semasa mereka belajar dan bergurau dengan rakan-rakan, sama seperti kanak-kanak normal yang lain.

Ada yang kuat mengusik, ada murid perempuan yang mengadu dibuli murid lelaki, tidak kurang juga yang suka membuat kelakar dan kuat merajuk - suatu dunia kanak-kanak, tidak ada bezanya.

Penulis juga agak terkejut apabila diberitahu oleh Nafisah bahawa murid-murid yang cacat penglihatan sejak dilahirkan juga mengalami mimpi seperti orang biasa.

"Ada yang datang beritahu saya, malam tadi dia bermimpi berjalan bersama kawan-kawan di suatu tempat," kata Nafisah.

Sebagai manusia yang celik penglihatan, mungkin sukar untuk memahami mimpi si buta, namun yang pasti, semua orang mempunyai satu 'mimpi' yang sama iaitu ingin hidup bahagia.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails