|
|
JOHOR BAHRU 12 Jan.- Ketika ibu lain mungkin bimbang tentang tahap pendidikan anak, Kamariah Abd. Karim, 51, pilu melihat anaknya yang terpaksa 'bergelut' hanya untuk berdiri dan berjalan secara normal.
Hatinya sayu menyedari anak kesayangannya, Mohd. Hakim Misran, 9, menghadapi masalah otak terencat jenis spastik setelah diserang demam kuning dua minggu selepas dilahirkan tidak cukup bulan.
Kamariah yang tidak mempunyai pekerjaan memberitahu, perkembangan otak yang terencat menyebabkan anaknya mengalami masalah untuk mengawal pergerakan, posisi dan pembesaran .
''Otot-otot pada bahagian kaki dan tangan anak bongsu daripada dua beradik ini mengeras menyebabkan ia sukar dikendalikan hinggakan untuk berdiri pun menjadi satu masalah besar," katanya.
Kamariah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pembukaan Unit Terapi Persatuan Kanak-kanak Spastik di Jalan Dato' Menteri yang disempurnakan isteri Tunku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris di sini, baru-baru ini.
Unit terapi itu dilengkapi peralatan pemulihan moden untuk rawatan fisioterapi dan kemudahan gimnasium bagi kegunaan pelatih di Sekolah Kanak-kanak Sepastik yang terletak berdekatan.
Bagi kanak-kanak yang menghadapi masalah sama namun tidak belajar di sekolah itu, mereka boleh mendapatkan rawatan di unit terapi tersebut dengan membuat temujanji sebagai pesakit luar.
Kamariah berkata, pembukaan unit terapi itu amat dinantikannya dan dia menaruh harapan tinggi bahawa ia dapat membantu memulihkan anaknya, sekurang-kurangnya untuk melatih otot supaya dapat berjalan tanpa bantuan.
"Saya amat bersyukur dengan pembukaan unit terapi yang dilengkapi kelengkapan moden ini dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang ke arah kewujudan unit itu," katanya.
Katanya, bagi memudahkan urusan anaknya untuk belajar di sekolah kanak-kanak spastik, dia sanggup menyewa sebuah apartmen di Larkin yang terletak kira-kira 60 kilometer dari rumahnya di Kota Tinggi.
Ia dilakukan bagi memudahkannya menghantar dan mengambil Mohd. Hakim di sekolah itu memandangkan suaminya bekerja di Kota Tinggi.
Kamariah juga berterima kasih kepada pihak Baitulmal Johor yang menanggung sepenuhnya pembelian alat bantuan dan pemulihan untuk berjalan kepada anaknya yang bernilai kira-kira RM7,500.
"Dengan alat itu, dia kelihatan seronok dapat berjalan bersama saya ke pusat beli-belah, itu sudah cukup membuatkan saya sangat gembira," katanya.